













Meneruskan aktiviti Ramadan dengan beberapa program di Selangor, Perak dan Kedah. Bermula dengan Usrah Madani 7.0 di IPG Kampus Pendidikan Islam, Bandar Baru Bangi, diikuti Lawatan Kerja Rasmi selama dua hari ke Perak (Behrang, Ipoh dan Kuala Kangsar) sebelum ke Kedah.
Alhamdulillah, penuhi undangan untuk Majlis Berbuka Puasa di Istana Iskandariah. Berbuka puasa, Solat Maghrib dan Isyak, Solat Sunat Tarawih dan Moreh bersama DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Semasa sesi mengadap ke hadapan DYMM Tuanku, Baginda mengucapkan terima kasih atas buku-buku terkini saya yang saya hadiahkan.
Sebagai anak jati Perak, pastinya saya terharu. Bahagia apabila mendengar Baginda sudi membaca semua karya-karya tulisan saya yang sederhana. Semoga menjadi pembakar semangat untuk saya terus menulis dan berkongsi sedikit ilmu yang saya miliki, kepada semua.
DYMM Tuanku Sultan Nazrin sememangnya terkenal sebagai peminat buku; di mana perpustakaan peribadi milik Baginda menempatkan koleksi lebih 30,000 buku. Masya-Allah. Hebat! Perak Sejahtera 2030, insya-Allah.








































Di Perak, saya sertai sesi penyerahan sumbangan Ramadan Box dan Ziarah Kasih Madani, bersama Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) Tanjong Malim dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Selepas sesi sumbangan kepada kakitangan PSAS dan pelepasan ‘flag off’ ringkas, saya santuni para asnaf sekitar FELDA Sungai Behrang, kampung halaman saya.
Seronok melihat wajah bening para asnaf yang tersenyum menerima sedikit titipan buat menyambut Aidilfitri. Ada dalam kalangan asnaf ini yang saya kenal sedari kecil, ada juga anak-anak generasi baru FELDA yang nampak ceria dan bersemangat menyambut Ramadan.
Terkenang wajah ayah dan bonda tersayang, yang cukup banyak jasanya kepada saya sewaktu membesarkan saya di kampung ini. Terima kasih kepada para petugas, sukarelawan, penaja dan penyumbang program ini.







































Usai menyantuni warga kampung halaman saya di FELDA Sungai Behrang, saya teruskan program di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) Tanjung Malim dengan Majlis Khatam al-Quran serta Majlis Berbuka Puasa, bersama warga dan alumni PSAS. Bahagia melihat anak-anak muda yang sayangkan Islam dan cintakan al-Quran. Majlis Khatam al-Quran ini disertai lebih 40 orang pelajar serta beberapa kakitangan dan tetamu yang hadir.
Turut hadir Ts. Abdul Razak bin Sabtu, Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts. Hj. Mohd Zulkefli Bin Ibrahim, Pengarah Politeknik Sultan Azlan Shah dan Encik Ramdani Bin Abd Karim, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Perak serta kakitangan PSAS, jemputan daripada agensi dan komuniti sekitar Daerah Muallim.
Sempat juga beri duit Raya untuk anak-anak kecil yang comel, yang tetap bersemangat untuk berpuasa walaupun terpaksa menahan lapar dahaga. Saya dimaklumkan lebih 1,500 orang yang hadir dalam program yang indah ini. Terima kasih PSAS, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), ABIM Behrang dan semua yang terlibat sama menjayakan program cukup bermakna ini.











Alhamdulillah, usai program di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) Tanjung Malim, saya tunaikan Solat Sunat Tarawih. Saya susuli dengan sesi moreh dan perbincangan lewat malam dengan pimpinan masyarakat dan NGO di sekitar Daerah Muallim. Di sinilah ruang untuk saya mendengar pandangan dan teguran, untuk saya perbaiki gerak kerja demi umat. Sesi yang santai terkadang jauh lebih bermakna, rasa senang dapat jumpa sahabat-sahabat aktivis di sini.









Saya bersahur dan tunaikan Solat Subuh di SMKA Slim River. Bahagia dapat sahur dan solat bersama-sama pelajar serta warga pendidik di sini. Dalam ucapan pihak sekolah tadi, mereka maklumkan rasa terharu kerana inilah kali pertama seorang Menteri atau Timbalan Menteri yang datang ke sekolah ini.
Saya sebutkan dalam perkongsian motivasi saya, bahawa sebagai anak jati FELDA Sungai Behrang, insya-Allah saya akan berkunjung lagi ke SMKA Slim River. Terima kasih kepada warga sekolah yang sudi menerima kehadiran kami. Semoga anak-anak ini cemerlang duniawi dan ukhrawi, insya-Allah.



























Selesai sesi di SMKA Slim River, saya hadir ke Program Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) Guru-Guru Maahad Al-Ummah, Perak. Saya tekankan bahawa guru-guru Muslim berperanan memimpin para pelajar untuk mempromosikan Islam yang aman, rahmah dan damai. Guru-guru Muslim mampu menjadi contoh karektor insani dan akhlak yang untuk mempromosikan Islam seperti yang diperlihatkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa-sallam.
Saya jelaskan bahawa Gagasan Malaysia Madani yang diperjuangkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) bukan hanya mempromosikan kesederhaan dalam berfikir dan bertindak, malah menyeru kepada kesatuan kita sebagai masyarakat yang berbilang kaum. Seramai 79 orang guru hadir, dengan disaksikan oleh Pengetua sekolah tersebut, Tuan Hj Abdul Aziz bin Musa.
Dalam program tersebut, saya turut serahkan ‘smart board’ kepada sekolah tersebut, sumbangan daripada Yayasan Taqwa di Bilik Audio Azhari Dini Azhar. Di bawah inisiatif #MadaniMembantu, saya serahkan sumbangan kepada seramai 50 orang murid asnaf Maahad Al-Ummah; dengan sumbangan pek Aidilfitri daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan sumbangan duit tunai dalam Majlis Sumbangan Program Kasih Insani.










Menyampaikan perkongsian dan merasmikan program Ikon Wanita Dambaan Syurga di Ipoh. Saya jelaskan bahawa Islam meletakkan kedudukan wanita seiring dengan lelaki dalam banyak perkara. Kedatangan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alayhi wa-sallam mengangkat darjat wanita, selain memberi hak yang sewajarnya dan meletak mereka pada tempat yang sesuai dengan fitrah.
Justeru, wanita pada hari ini perlu menguasai bidang ilmu untuk sama-sama menyumbang kepada negara, bangsa dan agama dan kepentingan sejagat. Program yang sangat baik berobjektifkan pemerkasaan wanita. Saya turut menyampaikan sumbangan kepada penerima, di bawah inisiatif #MadaniMembantu.
Tahniah YADIM Perak, Kelab Wanita Ikon Hebat, Sekretariat Pembangunan Wanita Dan Masyarakat Negeri Perak, Persatuan Wanita Cekal Sungai Siput, Pusat Koreksional Penjara Batu Gajah, TAJ International Collage dan TT Group of Companies.




Usai jadual padat di Bangi, Hulu Bernam, Behrang, Ipoh dan Kuala Kangsar, saya dan pasukan terus bergegas ke Alor Setar, Kedah untuk program seterusnya. Singgah sebentar bersahur pekena Nasi Kandar Bawah Pokok di Bagan, sebelum meneruskan perjalanan.
Masya-Allah, memang surrrr. Alhamdulillah! 🍛
Walaupun mengharungi jadual padat sepanjang Ramadan, termasuk pelbagai program di bawah inisiatif #MadaniMembantu di Terengganu, Sabah dan Sarawak, tetap bersemangat untuk terus berkhidmat demi rakyat.
Madani terus bekerja. Fastabiqul khairat! 💪
Doakan Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.
🤲🇲🇾